Friday, October 31, 2014

Persamaan perwatakan watak utama antara novel Melunas Rindu dan novel Kabus di Perbukitan (Fokus SPM 2014)


Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 4 ialan novel Melunas Rindu karya Hartini Hamzah. Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 5 ialah novel Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah. Watak utama dalam novel Melunas Rindu ialah Fuad manakala watak utama dalam novel Kabus di Perbukitan ialah Faridah. Dalam kedua-dua buah novel ini, terdapat persamaan dari segi perwatakan watak utama.
Persamaan perwatakan watak utama yang pertama dalam kedua-dua buah novel ialah watak utama yang bersifat penyayang dengan menyayangi ahli keluarganya. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad merupakan seorang yang penyayang. Dia sangat sayang akan ibunya sehingga dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari pusara ibunya yang dikatakan telah meninggal dunia.Usahanya membuahkan hasil apabila dia dapat bertemu dengan ibunya semasa ibunya dirawat di hospital kerana sakit lelah. Bukti yang seterusnya, Fuad juga sayang akan sepupunya iaitu Ah Soh dan Mei Lin. Dia membiayai pengajian Ah Soh yang masih belajar di Tingkatan 6. Fuad juga telah membuka akaun Giro untuk kedua-dua sepupunya itu. Dalam novel Kabus di Perbukitan, Faridah terlalu sayang dan rindu akan adiknya, Rahayu. Setelah bertahun-tahun lamanya mereka tidak berjumpa, mereka diketemukan dalam alam yang lain. Walaupun mereka hanya dapat berbicara di alam mimpi, namun Faridah enggan melepaskan Ayu daripada pelukannya. Selain itu, Faridah juga sangat menyayangi ibunya. Faridah terbayang akan ibunya ketika dia terjatuh ke dalam gaung dan dia tidak mahu meninggalkan ibunya yang sudah tua berseorangan jika dia meninggal dunia.
Persamaan perwatakan watak utama yang kedua dalam kedua-dua buah novel ialah watak utama yang bertanggungjawab terhadap tugasan diri sendiri. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik demi memastikan anak muridnya lulus dalam bahasa Inggeris dan mengadakan kelas lanjutan setiap hari. Fuad telah mengadakan kelas tuisyen selepas waktu persekolahan untuk pelajar Tingkatan 5 walaupun terpaksa pulang lewat. Dalam novel Kabus di Perbukitan, Faridah bertanggungjawab menguruskan keluarga sendiri walaupun suaminya, Soleh mampu mengambil pembantu rumah. Faridah juga menunjukkan sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu apabila dia mengajar Melina membuat kerja-kerja rumah. Faridah juga memaparkan tanggungjawabnya sebagai seorang anak apabila dia tidak sanggup meninggalkan ibunya walaupun sudah berkahwin dengan Ghazali kerana risau akan kesihatan ibunya. Tanggungjawab dirinya sebagai anak tidak pernah dilupakannya sehinggalah ibunya meninggal dunia.

Persamaan perwatakan watak utama yang ketiga dalam kedua-dua buah novel ialah watak utama yang tabah menghadapi cabaran hidup. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad sungguh tabah menghadapi sikap dingin Mak Salmah terhadapnya selama beberapa bulan dia tinggal besama Pak Ismail dan Mak Salmah. Mak Salmah beranggapan bahawa Fuad ialah penyebab kematian Sofia, iaitu anak angkatnya akibat daripada tindakan Fuad melarikan Sofia. Fuad terpaksa bersabar dan sentiasa berusaha mengambil hati Mak Salmah. Dalam novel Kabus di Perbukitan, Faridah tabah menerima hakikat bahawa dia kehilangan insan-insan yang disayanginya. Pada awal cerita, Faridah kehilangan saudara kembarnya, iaitu Rahayu yang meninggal dunia kerana penyakit barah. Kemudian, ibu Faridah juga meninggal dunia kerana menderita akibat kematian Rahayu. Ketabahan Faridah menghadapi cabaran hidup juga dipaparkan melalui peristiwa suaminya, Ghazali yang meninggal dunia akibat daripada kemalangan jalan raya.

1 comment:

  1. Thanks for the information..it's very useful for my revision...

    ReplyDelete